Selasa, 21 Februari 2012

Aku Dekat Mana?

Aku tak perasan bila masa aku tertidur. Sedar-sedar, dah agak gelap di luar. Mungkin, dah pukul 7. Ah, pukul 7 sekarang tak gelap macam pukul 7 waktu bulan puasa. Aku tegakkan badan, cuba meluruskan tulang belakang. Lenguh rasanya tertidur hampir dua jam atas sofa macam ni. Leher pun terasa sakit. Kepala pulak ada rasa pening-pening sikit. Aku letak naskah The Secret Garden oleh Frances ke tepi. Di luar, suasana macam agak sepi. Mata aku masih kabur, walaupun aku dapat kenal pasti cuaca di luar. Kaki aku mula melangkah hendak bangun. Lantai yang aku injak terasa gebu, berbulu-bulu. Pelik. Aku melangkah setapak, dua tapak..

Aduh!

Apa benda  yang aku tersepak ni? Kaki meja? Bila masa pulak aku ada letak meja kat sini ni? Aku gosok-gosok mata, cuba kembalikan fokus mata. Rumah ni bau lain - bau daisy. Padahal rumah aku bau vanila. Seriously? Aku dekat mana ni?

Aku toleh kiri kanan. Ini bukan ruang tamu aku, tapi ni..macam bilik bacaan entah dekat rumah siapa. Rumah aku mana ada bilik bacaan! Penuh dengan rak buku pulak tu. Semua dinding ada rak - tinggi sampai ke siling. Luas bilik ni. Besarnya empat kali ganda bilik aku. Ah, pulak. Aku mimpi ke apa ni?

Aku cuba cari pintu. Sekali lagi aku tersepak kaki meja. Ah, apasal besar sangat meja ni?! Sakit gila oi aku tak dapat tahan. Tersepak ibu jari pulak tu. 

Tiba-tiba aku dengar pintu di bukak dari luar. Aku toleh, aku nampak seorang lelaki di muka pintu sambil pegang satu buku kulit tebal. Ni kalau hempuk ke kepala aku memang sah boleh pengsan.

Lelaki dekat depan pintu tu tergamam. Aku boleh baca fikiran dia - tak - aku boleh dengar fikiran dia. Nyata-nyata dia tak tahu aku siapa. Macam mana aku boleh ada dekat situ. Sambil aku dengar apa yang dia fikirkan, lama-lama aku hilang mamai. Baru aku perasan.

Macam mana aku boleh ada dekat sini?

Dan di situ aku berdiri lama, tercegat tak terkata apa. Seperti lelaki tu, aku tergamam.

Isnin, 20 Februari 2012

Percubaan per-tama, setelah hiatus.

Walaupun hari ni hari minggu, tapi rumah ni rasa sepi semacam. Sekejap tadi, aku sempat jenguk ke luar. Kereta memang penuh, bertali arus. Tak pernah putus. Mengenangkan hujung minggu macam ni patut dirai, aku jadi sepi bila mengenangkan yang aku keseorangan.

Ah, apa saja lah.

Aku capai mug coklat malt atas meja, hirup pantas sambil capai naskah The Secret Garden karya  Frances Hodgson Burnett terbitan Penguin Classics yang aku sudah baca sepertiga buku. Aku baca sekilas sekali lagi nota kaki yang mengatakan buku itu dihasilkan 100 peratus daripada kertas kitar semula, kemudian terus mencari muka surat yang terakhir aku baca malam tadi.

Kali ni nak masuk bab Dickon, budak lelaki, adik kepada Martha - orang gaji yang ditugaskan untuk jaga Mary, anak buah kepada Archibald Craven, tuan punya rumah pusaka yang sama besar dengan istana zaman dahulukala; punya beratus-ratus bilik dan berpuluh ruang tamu - yang sudah 10 tahun kematian isteri akibat isterinya jatuh sakit selepas terjatuh daripada buaiannya di taman ros - sebuah taman daripada beberapa taman lagi yang ada dalam kawasan yang berpuluh ekar itu - dan taman ros itu adalah kesayangan isterinya. Dan sejak  kematian isterinya, Craven telah kunci taman itu dan tanam kuncinya jauh ke dalam bumi - biar tiada siapa dapat masuk ke dalam tu lagi, waima dirinya sendiri. Craven, kini, jarang-jarang ada di rumah agam itu. Kalaupun dia ada, dia hanya akan berkurung dan tidak benarkan walau sesiapa untuk berjumpanya. Dia, lelaki pelik lagi maha pendiam.

Sambil mata aku berlari baris demi baris, kadang-kadang aku berhenti untuk mencium kertas buku tu. Mengambil aroma kertas kitar semula. Walaupun busuk, aku rasa semacam perlu untuk buat macam tu. Baru rasa..real. Tiada apa yang terasa seperti hidup dalam rumah ni. Yang ada cuma, tivi yang dipasang ke volume 1 - sekadar menghidupkan suasana - kipas yang berputar perlahan, sliding door yang aku buka - sengaja biarkan angin masuk, meliuk-lentukkan langsir putih yang kadang-kadang menggelungsur di relnya bila angin bertiup kencang. Bunyi enjin kereta atau desingan bunyi motor dari luar aku tak pedulikan - bukannya dengar sangat pun bila aku khusyuk membaca. Jadi tak mengapa pun.

Cukup separuh buku aku baca, aku menyandar rendah sambil letak buku atas muka. Bau busuk kertas kitar semula menyucuk-nyucuk hidung, tapi lama-lama aku dapat kesan sikit-sikit bau wangi yang ada; sekadar membezakan ia daripada kertas kitar semula yang lain. Aku biarkan deria aku berjalan untuk seketika waktu. Ketika ini, aku dapat dengar bunyi kereta lalu-lalang yang tadinya sayup-sayup, sekarang, makin kuat. Segala-galanya terasa makin kuat, hatta bunyi kipas ni sekalipun. Ah, dalam hati terdetik. Apa yang tak kena ni?

Aku cuba kenal pasti bunyi yang satu ni - bunyi yang bermain disebalik bunyi-bunyi yang ada ni - yang pada telinga aku cukup kuat, walaupun tersembunyi di sebalik bunyi-bunyi yang ada. Bunyi apakah ini? Sambil pejam mata, sambil hidung bernafas dalam ruang yang sendat, sambil telinga aku cuba cam segala bunyi - otak aku bekerja keras. Lama-lama, aku jadi pasti.

Inilah dia, kesunyian.

Ya, inilah dia. Bunyi Sunyi. Aku, sunyi. Parah. Aku tarik buku dari muka, buang pandangan ke kiri. Di sebelah meja tivi, aku pasangkan rak putih tinggi sampai ke siling. Di hujung sekali, ada tangga merah yang aku beli di IKEA tidak lama dahulu - kalau-kalau aku tak sampai nak ambil buku. Aku tersenyum lama melihat rak yang penuh dari hujung ke hujung.

Aku kesunyian rupanya.